SAYA tertarik dengan pendedahan Pelajar Selangor di ruangan ini semalam mengenai ustazahnya yang berpolitik dalam kelas. Sebenarnya ada banyak lagi kes sebegini yang berlaku.
Ada beberapa orang ustaz di beberapa sekolah yang sering keluar berceramah kerana bayaran yang tinggi. Minggu sudah seorang ustaz patut datang ke sebuah masjid tetapi tidak datang. Para jemaah maghrib menunggu begitu lama untuk kuliah maghrib.
Ini bukan kali pertama berlaku, kerana beliau akan pergi ke tempat lain yang bayarannya lebih tinggi. Kalau ustaz berkenaan bertugas sebagai warden asrama, makin keraplah para pelajar asrama ditinggalkannya kerana ceramah di luar.
Memang dapat bayaran tinggi, tetapi tugas utama di sekolah sebagai warden juga diambilnya. Mana satu yang halal, masakan beliau tidak tahu? Sebagai ustaz tidak perlulah terlibat dengan ceramah-ceramah berunsurkan politik kerana sasaran ialah para pelajar yang masih mentah. Sejak di sekolah lagi ditanam sikap antikerajaan, sebab itulah terbawa-bawa sehingga ke IPTA.
Pada hari penamaan calon di Hulu Selangor, saya terserempak dengan pelajar IPTA yang memakai jaket hitam berlogokan parti pembangkang. Budi bahasanya tidak ada langsung. Saya tidak sempat bertanya beliau belajar di mana dan bagaimana keputusan peperiksaannya.
Kalau saya dapat maklumat keputusan begitu lemah, saya akan nasihatkan beliau baliklah, betulkan diri sendiri dulu.
Apa tidaknya, belajar pakai wang PTPTN, komen kerajaan semua tidak betul. Di kampus, berbanding dengan bukan Melayu, prestasi akademik hanyut. Macam ustaz tadilah, tugas di sekolah selalu terabai. Kerajaan semua tidak betul, sistem pendidikan tidak betul. Beliau yang berada dalam sistem, lagilah terus menyimpang, bukannnya hendak membetulkan .
Ceramah selalu di masjid, ada tauliah ke? Kita kena tahu juga sebab itu peraturan. Saya pernah dengar khutbah oleh seorang ustaz, ahli politik. Katanya, ikutlah kamu sepenuhnya Islam, bukan Islam Hadhari.
Seorang ustaz pula, dalam kuliah subuhnya, memberi salam. Kemudian katanya tidak perlulah lagi ada ucapan salam 1Malaysia. Nanti bagi salam lepas solat pun, sebut salam 1Malaysia.
Ceteknya pemikiran mereka kerana yang penting inilah ruang menghentam kerajaan. Tetapi masih lagi bertugas di sekolah, tugas utama tidak dibuat.
Dahulu masa sekolah pada tahun 60-an, idola saya ialah ustaz dan ustazah. Sekarang, siapa hendak dijadikan idola, sebab ramai pelajar tahu bagaimana sikap ustaz dan ustazah mereka.
Terima kasih kepada guru-guru agama yang masih tetap menjalankan tugas sebagaimana diamanahkan. Merekalah yang sekarang ini bertungkus-lumus mendidik para pelajar dalam keadaan pelbagai masalah disiplin dan akhlak pelajar sekarang.
Namun dengan bilangan mereka, mereka tidak mampu melaksanakan semua, kecuali semua guru, dan guru agama melakukan perkara yang sama. Tidak perlulah berpolitik, tidak perlulah menjadi penceramah jika masih mahu bertugas sebagai guru agama. Gaji rasmi tidak halal dan pelajar makin terabai. Tuhan Maha Mengetahui segalanya. Fikirkanlah.
Saya pun guru. Tapi melihat kepada situasi para pelajar sekarang, rasanya ketepikanlah soal-soal berkaitan politik. Biarlah orang politik yang buat kerja mereka. Apa ertinya terlalu berpolitik. Dapatlah berkuasa sementara, tetapi generasi kita akan datang semakin hancur. Masa itu kuasa sudah tidak bermakna apa-apa.
Masa itu kita semua sudah tiada, jadi perjuangan kita menjadi sia-sia akhirnya. Siapa yang untung? Sudah tentu bukan kita!
0 comments:
Post a Comment